Monday 2 November 2015

CERITA ANAK LEUKEMIA


Amir ( nama telah diubah) adalah seorang kanak-kanak berumur 5 tahun yang ceria. Dia adalah periang dan mudah bergaul dengan orang. Pada penghujung tahun 2010, Amir mula demam dengan kerap. Setiap kali Amir demam , ibu-bapanya akan membawanya berjumpa dengan doktor. Amir juga mengadu sakit sendi dan semakin hari perut Amir semakin kembung. Amir yang suka bermain bola sepak dengan rakan-rakannya juga mudah lebam selepas setiap kali bermain bola sepak walaupun tidak jatuh . Amir juga makin hari makin pucat. Ibu bapa Amir yang makin hari makin risau telah membawa Amir untuk berjumpa doktor di klinik swasta. Doktor di klinik swasta terus merujuk Amir ke hospital untuk penyiasatan lanjut.
Di hospital, Amir telah dimasukkan ke Wad Kanak-Kanak . Wad itu penuh dengan kanak-kanak pelbagai usia. Ada di antara mereka yang terkena jangkitan kuman paru-paru, jantung berlubang dan ada juga yang demam denggi.
Setelah diperiksa oleh doktor, doktor memberitahu ibu Amir bahawa selain pucat dan mudah lebam, Amir juga mempunyai pembengkakan kelenjar limfa di bahagian leher dan ketiaknya. Organ hati dan limpa Amir juga telah membesar dan ini adalah punca perut Amir makin hari makin kembung. Setelah diperiksa oleh doktor, darah Amir terus diambil untuk dihantar makmal. Ibunya begitu sedih melihat keadaan Amir tetapi menguatkan semangatnya demi Amir. Pada petang itu juga, Dr Siti ( nama telah diubah) iaitu seorang Pakar Kanak kanak telah berjumpa dengan ibu Amir dan memberitahunya bahawa daripada ujian darah awal menunjukkan Amir disyaki mengidap kanser darah. Ini kerana sel darah merah (hemoglobin) Amir terlalu rendah dan factor beku darah Amir ( Platelet) juga terlalu rendah. Sel darah putih ( leucocyte) Amir juga melambung tinggi jauh daripada normal. Sel darah putih yang normal kanak-kanak sebaya Amir adalah di antara 4000 hingga 12 000 tetapi sel darah putih Amir adalah 200 000 ! Ibu Amir hampir pengsan apabila mendengar berita ini. Amir telah dipindah ke Wad Onkologi iaitu Wad Kanser kanak-kanak.
Ibu dan ayah Amir di panggil masuk ke dalam bilik kaunselling oleh Dr Tan ( bukan nama sebenar) iaitu seorang Pakar Kanser Kanak-Kanak. Dr Tan menerangkan bahawa Amir disyaki mengidap penyakit Leukemia, iaitu sejenis kanser darah. Untuk mengenalpasti dengan tepat penyakit kanser dan jenisnya, Amir perlu menjalani ujian pengambilan air tulang belakang ( lumbar puncture) dan juga pengambilan sampel sumsum tulang ( bone marrow aspiration) . Ibu dan ayah Amir terkejut besar dan terus tidak bersetuju kerana sebelum ini banyak cerita yang pernah mereka dengar mengenai pangambilan air tulang belakang. Mereka terdengar khabar bahawa pesakit boleh cacat atau lumpuh setelah diambil air tulang belakang. Dr Tan tidak tekejut dengan reaksi mereka malah Dr Tan telah mengambil masa untuk menerangkan bagaimana prosedur itu akan dilakukan. Ibu bapa Amir juga telah di bawa untuk berjumpa dengan ibu bapa lain yang anak mereka telah melalui procedur tersebut. Setelah berbincang dengan ibubapa lain, jelas sekali khabar angin yang mereka dengar tidak benar sama sekali. Dengan hati yang lebih lega, ibu bapa Amir telah mengizinkan doktor melakukan apa yang patut.
Pada keesokan paginya, Amir telah disuruh puasa dari pukul 4 pagi. Ini kerana Amir perlu diberi ubat tidur dan ubat tahan sakit sebelum procedur dilakukan. Pada pukul 9 pagi, Amir telah dibawa masuk ke bilik rawatan. Syukur Alhamdulillah semunya telah berjalan dengan lancar.
Ibu & ayah Amir telah sekali lagi dipanggil masuk ke bilik kaunselling pada keesokkan harinya kerana keputusan pemeriksaan sumsum tulang telah siap. Dr Tan telah memberitahu mereka bahawa pemeriksaan sumsum tulang Amir menunjukkan Amir mengidap Leukemia, iaitu sejenis kanser darah.
Pelbagai persoalan bermain di minda ibu bapa Amir. Apa itu Leukemia ? Macam mana boleh kena ? Adakah penyakit Leukemia boleh dirawat ? Apakah peluang sembuh ?
Apa itu Leukemia ?
Leukemia adalah sejenis kanser darah yang menyebabkan pengeluaran sel darah putih terganggu. Ini menyebabkan sel darah putih membahagi dengan cepat dan dikeluarkan. Sel-sel ini tidak normal. Apabila bilangan sel-sel ini meningkat, ini akan menganggu keupayaan sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah merah dan Platelet.
Leukemia dapat dibahagikan kepada Leukemia Akut ( Acute Leukemia ) atau Leukemia Kronik ( Chronic Leukemia) . Untuk golongan kanak-kanak, 95% kes adalah Leukemia Akut. Leukemia Akut pula dapat dibahagikan kepada Leukemia Limfositik (ALL) atau Leukemia yelogenous ( AML) Leukemia akut adalah jenis barah paling biasa berlaku di kalangan kanak-kanak.
Apakah tanda-tanda pesakit Leukemia ?
Di antara tanda-tanda pesakit Leukemia ialah :
Pucat , mudah lebam , bintik-bintik merah pada badan , pendarahan hidung dan gusi, sakit sendi, pembengkakan kelenjar limfa , lemah dan letih lesu dan juga sakit kepala. Sebilangan pesakit lelaki boleh mengalami pembengkakan buah zakar (testis) .
Macam mana boleh kena ?
Tidak ada satu sebab yang telah dikenalpasti untuk penyakit Leukemia. Kajian masih dijalankan untuk mengenalpasti punca penyebab penyakit Leukemia. Kanak Kanak Down Syndrome mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengidap penyakit Leukemia berbanding kanak-kanak lain.
Bagaimanakah penyakit Leukema dikenalpasti ?
Riwayat penyakit pesakit dan pemeriksaan fizikal akan dilakukan oleh doktor. Doktor juga akan mengambil darah pesakit untuk ujian awal. Darah pesakit juga akan di letakkan atas slaid dan dilihat di bawah mikroskop untuk mengesan sel-sel `blast’ iaitu sel-sel yang tidak normal.
Jika ujian awal menunjukkan ada kemungkinan pesakit mengidap Leukemia, pesakit perlu menjalani prosedur pengambilan sum-sum tulang . Doktor akan menyuntik jarum ke tulang pinggul bahagian belakang untuk mengambil darah dari sum-sum dan juga cebisan tulang. Pada masa yang sama, doktor juga akan mengambil sampel air tulang belakang untuk mengenalpasti sama ada sel-sel kanser telah merebak ke otak atau sebaliknya.
Jika pemeriksaan awal menunjukkan pembengkakan zakar, pengambilan sampel tisu zakar juga perlu dilakukan.
Bagaimanakah Leukemia dirawat ?
Leukemia di rawat dengan ubat kemoterapi. Kemoterapi adalah ubat yang agak kuat yang digunakan untuk membunuh sel-sel kanser. Tempoh rawatan kesuluruhan adalah untuk 2 tahun. Pesakit yang mempunyai sel-sel kanser dalam air tulang belakang juga perlu menjalani rawatan radiasi. Sebahagian rawatan memerlukan pesakit berada dalam wad dan sebahagian yang lain pula boleh dilakukan sebagai pesakit luar ( daycare) .Setelah tamat rawatan, pesakit akan diberi temujanji di Klinik Pakar Kanak-Kanak Onkologi untuk follow up susulan. Sehingga kini, tiada rawatan tradisional atau alternatif yang terbukti untuk membunuh sel sel Leukemia.
Bolehkah pesakit Leukemia sembuh ?
Pesakit Leukemia `Standard Risk’ mempunyai peluang sembuh setinggi 90% . Ini bermakna 9 daripada 10 pesakit Leukemia kanak-kanak mempunyai peluang yang baik untuk sembuh. Seperti juga kanser lain, penyakit kanser darah mempunyai peluang untuk berulang walaupun telah dirawat.
Pada awalnya, ibu dan ayah Amir nekad untuk mencuba rawatan alternatif dan tradisional kerana dipengaruhi oleh ahli keluarga. Selepas bersembang dengan ibu bapa lain dalam wad, mereka diberitahu bahawa terdapat seorang kanak-kanak pesakit Leukemia yang telah dibawa mencuba rawatan alternatif oleh ibu-bapanya.Setelah 6 minggu rawatan dan setelah menghabiskan wang sebanyak RM 20 000, ibu bapa telah membawa kanak-kanak tersebut pulang ke hospital untuk rawatan kemoterapi kerana rawatan alternatif langsung tidak berkesan. Bukan itu saja, duit mereka sebanyak RM 20 000 melayang. Sekarang, kanak-kanak tersebut lebih sihat dan ceria seperti sedia kala. Kanak-kanak ini benasib baik kerana ada yang telah meninggal dunia kerana kanser merebak dengan cepat selepas mencuba rawatan alternatif dan tradisional.
Setelah berfikir panjang, ibu bapa Amir akhirnya bersetuju menjalani rawatan kemoterapi untuk anak mereka mengikut nasihat doktor. Sekarang, 3 tahun 6 bulan kemudian setelah Amir mula-mula dikenalpasti mengidap Leukemia, Amir telah lama menghabiskan rawatan kemoterapi dan adalah seorang kanak-kanak yang ceria dan aktif di Darjah 2 sebuah sekolah tempatan. Ramai yang tidak tahu Amir pernah mengidap panyakit Leukemia satu ketika dahulu kerana dia hanya seperti kanak-kanak lain.
amir2

( written by Dr Mohamed Najib bin Mohamed Unni )
______________________________________
With great joy and appreciation, we welcome another valuable addition to the team – Dr Mohamed Najib. He is a paediatrician and is currently in his first year of subspecialty training in paediatric heamato-oncology. He graduated with M.D from Universiti Sains Malaysia and completed his paediatric specialist training withM.MED Paeds in Universiti Kebangsaan Malaysia.
CREDIT TO  Dr Mohamed Najib bin Mohamed Unni .
SUMBER: www.doktorbudak.com/2014/04/19/anak-pucat-dan-mudah-lebam



Smart and Lovely Ways to protect you and your loved one. We love to protect you. Noor Azman 013-3043848 / Mary 013-3403848

No comments:

Post a Comment

Thank you for leaving your comment. For FAST respond please SMS/WhatAps/Call 0133043848 (Noor Azman) & 0133403848 (Mary). We are glad and proud to help you.